Sembang

228. DENDAM WANITA HODOH [VS Mei 2000]

Dan dalam sekelip mata juga, rangka tersebut kembali kepada keadaan asal. Kemudian bertukar semula menjadi rangka. Bertukar balik menjadi tubuh manusia. Begitulah seterusnya, sering bertukar ganti rupa dan bentuk.

Semasa proses penukaran itu suasana dalam ruang bilik diterangi dengan kilauan cahaya merah dan hijau, gerakan cahaya itu tidak ubah macam pancaran kilat.

Bila terpancar warna hijau, tubuh wanita hodoh menjadi rangka, tengkorak kepalanya putih berkilat, lubang mata dan hidungnya terpelohong. Bila bergerak seluruh sendinya berbunyi macam bunyi tayar lori melanggar batu kerikil dijalan baru.

Bila pancaran hijau bertukar merah, rangka wanita bertukar menjadi tubuh manusia yang cukup sempurna. Pancaran warna yang sering bertukar menyebabkan pandangan menjadi silau. Mata menjadi pedih dan perit.

Seiring dengan pancaran warna itu, terdengar suara lelaki mengerang, merintih menahan rasa sakit yang amat sangat serta diselang seli dengan suara perempuan ketawa dan mengilai panjang.

Apa yang terdaya kami lakukan adalah pasrah pada keadaan. Bersedia menghadapi apa saja yang datang. Jauh di sudut hati, masih berbunga harapan yang datuk tidak akan berdiam diri, jika terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Ali Usman kelihatan tidak tenang sekali. Wanita hodoh terus mengusap-usap kepala bayi yang dipangkunya, Suara lelaki merintih dan perempuan mengilai terus bergema.

“Kita hadapi apa saja yang terjadi,” dalam keadaan yang tidak menentu itu, datuk masih sempat melafazkan pesanan.

“Saya faham dan bersedia,” balas Ali Usman.

Dan saya hanya angguk kepala.

Tiba-tiba secara mengejut, pancaran cahaya hijau merah berhenti. Sekujur tubuh wanita berwajah hodoh kembali dalam bentuk asal, tidak lagi bertukar menjadi rangka. Suara lelaki merintih dan perempuan mengilai turut lesap. Keadaan kembali tenang.

“Kenapa senyap dan sunyi,” bergema persoalan dalam kalbu, bila berdepan dengan situasi yang saya kira cukup ganjil sekali. Rasa sepi menguasai sekitar.

Ruang bilik yang tadi riuh rendah dengan berbagai-bagai bunyi, bertukar rentak terasa sunyi dan kosong. Gegendang telinga bagaikan hilang kuasa untuk menangkap sebarang kesan bunyi yang terjadi dalam bilik. Rasa cemas dan takut bersarang di dada.

Kami saling berpandangan dan mengharapkan salah seorang daripada kami dapat memberikan idea untuk memecahkan kebuntuan yang sedang dialami. Wanita berwajah hodoh tahu masalah yang sedang kami hadapi, Dia tersenyum dan akhirnya ketawa. Dia melafazkan sesuatu ke arah kami.

Sayang, apa yang dituturkan tidak mampu ditangkap oleh anak telinga kami. Wanita berwajah hodoh makin menjadi-jadi, dia menari-nari sambil mengoyang-goyangkan punggungnya.

“Allah hu Akbar.”

Datuk bertempik sambil tangan kirinya memukul lantai bilik. Serentak dengan itu gegendang telinga kami berfungsi kembali, semuanya dapat didengar dengan jelas dan terang. Rasa sepi yang menguasai segera berakhir. Bunyi bising dan hinggar binggar datang kembali.

SENYUM

Muka Ali Usman segera saya lihat. Ada senyum berlari di kelopak bibir. Datuk juga saya renung, orang tua itu masih membongkok, telapak tangannya kelihatan melekat di lantai seperti kena gam.

Datuk kerah seluruh tenaganya untuk memisahkan telapak tangannya yang melekat. Urat leher dan di lengannya nampak timbul.

“Dia mula memperdayakan aku ,” cetus datuk dengan muka berkerut.

“Itu satu permulaan,” wanita berwajah hodoh menyindir.

“Aku tahu, jangan fikir aku mahu menyerah begitu saja,” keras nada suara datuk.

Benih-benih peluh mula meruap di dahi dan pangkal leher. Tidak ada tanda-tanda datuk mahu menyerah. Segala kekuatan tenaga dan ilmu mula dimanfaatkan.

“Allah hu Akbar,”

Suara kemenangan menguasai seluruh ruang bilik. Telapak tangan yang melekat di lantai terpisah. Datuk berdiri gagah dan wanita berwajah hodoh tercengang, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

“Mengapa aku harus menjadi mangsa kamu,” satu pertanyaan yang garang dari datuk.

“Tanpa kamu, semua angkara ini tidak terjadi.”

“Aku sekadar menolong.”

“Pembohong, kamu mahu menjahanamkan apa yang ada pada aku.”

“Biar aku jelaskan.”

“Diam.......” jerit wanita berwajah hodoh.

Datuk terdiam tetapi, sepasang bola matanya tidak bergerak dari menatap seluruh tubuh wanita tersebut. Datuk tahu, kalau renungannya dialihkan ke arah lain dia akan menerima akibat buruk. Jeritan yang bergema sebentar tadi bertujuan untuk mengalihkan perhatian datuk. Secara lojiknya, tidak ada sebab wanita tersebut mesti menjerit kerana datuk bercakap dalam nada suara yang lembut, penuh persahabatan.

“Kamu orang tua sial.”

Jari telunjuk wanita hodoh menuding ke arah batang hidung datuk. Darah saya tersirap kerana datuk tidak bertindak balas. Masih tenang, seolah-olah kata-kata itu tidak memberikan sebarang kesan pada dirinya.

“Bummmmmmm.....”

Satu ledakan kecil terjadi di depan wanita berwajah hodoh. Seluruh ruang bilik mula dikuasai bau hangit dan hapak. Kepulan asap kecil dan nipis muncul di kiri kanan wanita tersebut.

Asap nipis sedikit demi sedikit bertukar warna menjadi hitam tebal hingga tubuh wanita yang memangku bayi hilang dari penglihatan kami.

“Kita keluar dari rumah neraka ni,” satu usul dari Ali Usman.

“Ayuh,” sahut saya.

Tdak ada sebarang bantahan dari datuk. Serentak kami memusingkan tubuh menghala ke pintu untuk keluar. Sebelum langkah sulung dimulakan, terdengar bunyi deru angin yang cukup kuat. Badan terasa bergegar, dan terangkat secara perlahan-lahan.

TERHEMPAS

Sebelum pun sempat kami mengatur strategi, tubuh kami berpusing-pusing dalam ruang bilik yang hangit dan hapak. Akhirnya terhempas ke dinding dengan kuat, seluruh sendi bagaikan mahu tercabut rasanya. Sakitnya tidak boleh di ceritakan. Lebih dari lima minit kami terkapar di situ.

“Hei kamu semua, mahu ke mana?”

Wanita berwajah hodoh tercegat di depan kami. Bayi yang dipangku berubah tempat. Kini berada di atas bahu dengan kedua belah kakinya terjuntai ke dada hampir mencecah hujung puting payu dara. Kedua dua belah tangan bayi memeluk dahi ibunya.

“Bagaimana? Masih macam tadi juga?”

Ternyata pertanyaan itu ditujukan kepada Ali Usman yang baru saja menyandar tubuh ke dinding. Datuk terus memicit hujung sikunya. Bunyi deru angin sudah mati, digantikan dengan bunyi bising yang tidak menentu.

“Bagaimana, masih mahu berkeras?.”

Suara wanita berwajah hodoh bertambah lantang. Mungkin dia marah kerana pertanyaan tidak dijawab oleh Ali Usman. Bunyi bising hilang secara mengejut. Datuk sudah pun berdiri, saya masih terkial-kial berusaha untuk duduk macam Ali Usman.

“Tak dapat nak buat keputusan,” ulang wanita berwajah hodoh.

Ali Usman terus membisu.

“Kamu menolak peluang yang baik ini?.”

“Iya, aku menolak,” tingkah Ali Usman penuh yakin.

“Kamu mengkhianati perjanjian yang dibuat antara aku dan bapa saudara kamu.”

“Heii, aku tidak masuk campur dalam perjanjian dengan syaitan, perkara itu memang aku tidak tahu. Macam mana, aku kamu babitkan.”

“Kamu pengkhianat.”

Wanita berwajah hodoh tidak mampu mengawal kemarahannya. Mukanya nampak merah. Dua tiga kali dia menghentakkan kaki kirinya ke lantai bilik. Rumah terasa bergegar seketika.

Dalam keadaan yang begitu kritikal, Ali Usman dapat berdiri lalu menghadapkan wajahnya ke muka wanita hodoh.

“Jangan tentang anak matanya Ali,” terpancut kata dari kelopak bibir datuk, “ kekuatannya sekarang berkumpul di situ, dia akan menggunakan segala kebolehannya menunduk kamu.”

“Hai orang tua, ini bukan urusan kamu,” dengan segera wanita hodoh mengalihkan pandangannya ke arah datuk.

“Aku sekadar menolongnya, memenuhi permintaannya,” balas datuk dalam nada suara yang lembut dan tenang.

HODOH

Saya lihat wanita hodoh menarik nafas dalam-dalam. Bayi yang berada di tengkuk diturunkan lalu dipangku dan dihayunkannya ke kiri dan ke kanan. Sepasang tangan dan kaki bayi bergerak-gerak. Terdengar suara bayi merengek kegelian. Sebaik sahaja suara rengekan itu berhenti, bayi dalam pangkuan segera didakap erat ke dada. Kedua-dua belah pipi wanita hodoh nampak kembung, macam perut ikan buntal.

“Puuuhhhhh.....”

Saya melihat ke arah mulut wanita hodoh, baju dan seluar datuk nampak bergerak, begitu juga rambutnya. Datuk terpaksa membongkok melawan arus angin yang keluar dari mulut wanita hodoh, andainya datuk berdiri tegak sudah tentu badannya bergerak dan terhumban ke dinding seperti tadi. Sebelum kejadian pertama berulang untuk kali kedua, datuk sudah pun mempersiapkan diri.

Wanita hodoh kelihatan panik, hembusan angin dari mulut yang selama ini, mempunyai kekuatan ntuk menjatuhkan pokok dan manusia, ternyata kali ini tidak berfungsi. Datuk masih bertahan dalam keadaan yang cukup selesa. Wanita hodoh yang tak kenal erti putus asa terus berusaha. Kali ini dia dibantu oleh bayi dalam pangkuannya. Tetapi, tidak mendatangkan sebarang kesan pada datuk.

“Dia lelaki tua yang hebat.” Keluh wanita hodoh.

Rasa kecewa dan hampa tergambar diwajahnya kerana gagal menghempaskan tubuh datuk ke dinding melalui hembusan angin dari mulut.

Bayi dalam pangkuan bersuara seperti katak memanggil hujan. Wanita hodoh tumpukan seluruh perhatian pada nada dan irama bunyi suara tersebut. Dua tiga kali dia anggukkan kepala, menandakan faham dan mengerti dengan erti bunyi tekanan nada suara si bayi dalam pangkuan.

“Itu satu arahan,” tutur datuk.

“Bukan urusan kamu,” balas wanita hodoh.

Datuk tersenyum sinis. Ali Usman mengigit jari manis dan saya ingin mempastikan apakah kata-kata datuk itu tepat atau sebaliknya.

Ramalan datuk menjadi kenyataan. Nada suara si bayi yang menyerupai bunyi katak memanggil hujan adalah satu arahan.

Sebaik suara itu berhenti. Wanita hodoh menundukkan kepalanya ke lantai, kemudian diangkat perlahan-lahan, hingga tegak 90 darjah, menentang anak mata hitam datuk.

Dengan pantas datuk membengkokkan kepala lututnya yang sekali gus merendahkan tubuh hingga anak matanya berada di paras dada wanita hodoh. Dalam erti kata lain, mata datuk tidak berlaga dengan anak matanya.

Tindakan selanjutnya, wanita hodoh meluruskan kedua-dua belah tangannya ke depan dan turut merendahkan tubuh seperti datuk buat seketika.

Berdiri kembali dan kali ini bayi dalam pangkuan menhulurkan sepasang tangannya ke arah wanita hodoh. Tanpa membuang masa wanita hodoh mematahkan jari telunjuk kiri dan kanan bayi dengan tenang. Setiap batang jari telunjuk yang dipatahkan itu dicabut, bayi dalam pangkuan ketawa macam digelitik.

Kedua-dua jari telunjuk yang dicabut itu diramas-ramas sehingga menjadi berkeping-keping. Kemudian diuli hingga bulat sebesar buah guli kaca. Dan guli dari jari kelingking itu dibalingkan ke arah datuk. Kerana datuk sentiasa bergerak dan pantas mengelak tidak ada satu pun yang singgah di tubuh datuk.

Semuanya terhempas ke dinding bilik akhirnya menghasilkan ledakan kecil-kecilan yang membingitkan anak telinga. Saya dan Ali Usman menyaksikan semua kejadian aneh itu dengan penuh teliti di samping berjaga-jaga. Bimbang kalau kami berdua akan menjadi mangsa kemarahan wanita hodoh.

“Huuuuhhhh,” jerit wanita hodoh sambil menampar-nampar dada dan meramas-ramas kepala bayi dalam dakapan. Dia bagaikan tahu, bahawa datuk bukanlah lawannya.

Dia perlu mengatur strategi lain hingga kejayaan berada di pihaknya. Apa yang pasti si wanita hodoh memang tidak kenal erti putus asa. Tidak kenal erti kekalahan. Apa yang dia tahu ialah kemenangan harus berada di pihaknya.

JALAN

Satu-satunya jalan menuju kemenangan ialah mempergunakan, kelemahan Ali Usman. Untuk kesekian kalinya anak matanya mencari anak mata Ali Usman. Pesan datuk tidak dilupakan. Ali Usman segera berusaha dengan sedaya yang boleh agar anak matanya tidak bertembung dengan anak mata wanita hodoh.

Di saat Ali Usman dan wanita hodoh berlawan, datuk mengambil peluang meluruskan tangan. Kemudian dengan tenang datuk berdiri seperti biasa, mengeliat untuk menghilangkan lenguh-lenguh di sendi akibat terlalu lama membongkok.

Di samping itu datuk membuka langkah silat-silat yang agak ganjil. Dengan menggunakan kekuatan kedua-dua belah ibu jari kakinya datuk mengatur langkah silat. Silat yang menggunakan ibu jari kaki kiri dan kanan untuk mengawal pergerakan badan dan langkah silat, jarang digunakan oleh datuk. Malah dia tidak pernah mengajar ilmu silat yang disebut SILAT SABUI kepada saya.

Silat yang banyak menggunakan kekuatan ibu jari kaki dan ibu jari tangan itu, lebih tertumpu pada kekuatan mental dan gerak cepat bahagian lengan, betis kaki yang mengerakkan jari jemari kaki dan tangan untuk mencakar bahagian dada, muka dan belakang lawan hingga terkoyak dan sekali gus menarik daging dan tulang pihak lawan terkeluar dari bahagian tubuh.

Silat Sabui ini berlandaskan kerohanian yang tidak lari dari hukum agama. Tetapi, kalau salah bawa boleh terpesong jauh dari hukum-hukum agama malah boleh terkeluar dari akidah.

Itulah salah satu sebab datuk tidak mahu menurunkan ilmu silat itu kepada anak muridnya kecuali hal-hal pengetahuan agama. Tidak boleh diajarkan kepada sebarang orang.

Apa yang saya tahu cuma ada tiga orang sahaja anak muridnya di Tanah Semenanjung, seorang di Benut- JOHOR dari suku Bugis, seorang di kawasan Padang Terap-Kedah dari suku Acheh dan seorang lagi di Kawasan Pulau Kerengge-Terengganu.

Anak murid di Benut lepasan Sekolah Al-Junid-Singapura, seorang lagi AL-Mashoor, Pulau Pinang dan yang akhir tamat pengajian dari Arab Saudi. Mereka adalah tokoh agama ulama tempatan dan tidak ramai yang tahu tentang kebolehan ketiga-tiga insan tersebut.

Sebabnya, mereka ditegah memperlihatkan kebolehan atau ketangkasan ilmu yang dimiliki pada khalayak ramai. Silat Sabui, hanya boleh dimanfaatkan bila keadaan terdesak. Tetapi wajib digunakan demi mempertahan agama dan maruah bangsa terutama bila diancam oleh puak bukan Islam yang bertujuan mempersendakan agama Allah.

Andainya, anggota silat Sabui tidak memanfaatkan ilmu yang ada untuk mempertahankan maruah dan kesucian agama Islam, mereka dianggap dayus dan tidak keterlaluan boleh dicap sebagai pengkhianat agama.

“Berhenti.”

Saya dan Ali Usman terkejut. Suara wanita hodoh cukup kuat. Rupa-rupanya dia sedang menuangkan kemarahannya ke arah datuk yang sedang menyusun tapak langkah silat sabui.

Matanya merah menyala, macam biji saga dan dari kedua-dua belah bahunya keluar asap. Telinga kiri dan kanannya sekejap mengembang, sekejap mengecut mengikut tarikan nafasnya.

“Kamu biadap, ambil ini.”

Wanita hodoh mencampakkan bayi dalam pangkuannya yang sudah menjadi seketul bara ke arah datuk. Kerana sudah menjangka apa yang akan berlaku, datuk sudah bersedia. Dengan meluruskan kedua belah tangan dan mengembangkan telapak tangan dan jari jemari ke arah ketulan bara besar yang menuju ke arahnya.

Tiba-tiba kelajuan ketulan bara terhenti di tengah-tengah antara datuk dan wanita hodoh, berlegar-legar di situ sambil mengeluarkan bunyi letupan kecil yang membentuk bunga api halus dan tajam. Tiba-tiba wanita hodoh terjatuh di lantai dan ketulan bara yang berada di awang-awangan kembali menjadi bayi lalu kembali ke pangkuan wanita hodoh.

“Hiss................” nyaring suara wanita hodoh.

Dalam sekelip mata dia sudah berdiri, Semua rambutnya menutup muka. Biji matanya tidak dapat dilihat kerana dilindungi rambut yang hitam. Saya kira ini juga merupakan taktik.

Dengan berbuat demikian, kami bertiga menyangka matanya di tutup rambut tidak dapat melihat kami, pada hal dari celah-celah rambut hitam itu dia dapat melihat anak mata kami bertiga dengan jelas.

JELAS

Dengan demikian dia dapat melakukan sesuatu atau melemahkan kami melalui renungan matanya yang bertembung dengan mata kami.

Dan kali ini bayi dalam dakapan yang sejak tadi diam, tiba-tiba menangis dengan semahu-mahunya. Ini juga merupakan satu helah, bagi menarik perhatian saya, Ali Usman dan datuk. Bila kami terleka atau terlalai dia akan melakukan sesuatu untuk membinasakan kami.

“Aaaaaa......”

Itu tanda isyarat dari datuk agar kami berhati-hati dan berjaga-jaga. Jangan sekali-kali terpengaruh dengan tipu helah wanita hodoh itu. Kerana isyarat sudah diberikan, maka kami pun lebih bersedia.

Perhatian saya dan Ali Usman tertumpu ke arah tubuh wanita hodoh yang menggerakkan tubuhya dari kiri ke kanan secara perlahan-lahan. Bila bahagian dadanya berdepan dengan dada Ali Usman, gerakan tubuhnya terus terhenti. Rambut hitam yang menutup muka sebelah kiri dikuaknya lalu disangkutkan ke telinga. Dengan sebelah mata dia memandang ke arah Ali Usman.

“Kau manusia pendusta, pengkhianat. Tidak sebaik bapa saudara kamu. Kamu yang mungkir janji, tidak akan aku lepaskan begitu saja,” satu amaran keras dari wanita hodoh untuk Ali Usman yang nampak terkejut.

“Tapi..”

“Jangan bertapi lagi, kamu terimalah akibat dari perbuatan kamu,” wanita hodoh memotong cakap Ali Usman dengan pantas sekali.

Dan kali ini Ali Usman nampak cemas, entah mengapa tiba-tiba badannya mengigil semacam, tidak boleh berdiri. Semua urat urat sendinya bagaikan terasa mahu bercerai.

3 ulasan:

  1. Balasan
    1. Insaflah semoga tuhan memberkati kita.tuhan mahukan tezeki kita cari dari sumber yang halal bukan nerjudi..semoga tuhan ampuni kita semua. Amin

      Padam
    2. ibu rizka, kenapa anda mempromosi perjudian kepada kami?

      Padam

Terima kasih atas ulasan anda!