Sembang

226. WANITA DALAM BILIK PAWANG [VS Mac 2000]

Tanpa membuang masa saya dan datuk melihat ke dalam bilik. Samar-samar kelihatan seorang lelaki duduk bersila dengan sepasang tangan berada diantara kedua belah paha dan kaki.
Sebuah tempat bara berada di depannya, mengeluarkan asap berbau cengkih dan kemenyan.
Lelaki yang berwajah serius dan bengis itu seperti bertafakur dengan sepasang kelopak matanya dirapatkan. Kepala dililit dengan kain kuning.
“Dari mana datangnya makhluk ini” bisik batin saya.
“Eehemmmmm………,” suara datuk menyumbat lubang telinga. Dan sudah pasti, suara tersebut adalah isyarat untuk saya mengawal perasaan, jangan memikirkan tentang sesuatu.
Asap kemenyan yang bergerak lembut si sebelah kiri dan kanan lelaki itu, melakarkan sekumpulan bebayang makhuk ganjil yang menakutkan. Ada yang bertanduk, bermisai, mata berlubang, berdagu panjang hingga ke lantai dan bermacam-macam lagi. Saya segera merenung ke arah datuk. Tenang sahaja datuk menghadapi suasana yang mencemaskan itu. Bibirnya seperti bergetar. Dan saya menduga, datuk sedang membaca petikan ayat al-Quran untuk menghalau syaitan.
Usaha datuk yang direstui Allah mendatangkan hasil yang sungguh mengesankan. Satu persatu bayang yang menakutkan itu menipis, membulat dan memanjang.
Sebelum ghaib dari penglihatan terdengar seperti suara hembusan angin yang keluar dari belon mainan akibat dicucuk dengan jarum.
“Dah hilang,” cetus hati saya.
Datuk berdehem dan saya sedar tentang kesilapan yang tidak saya sengajakan. Dua tiga kali saya menarik dan melepaskan nafas sambil mengutuk diri sendiri.
MUngkin menyedari tidak ada sebarang gangguan lagi menyebabkan datuk menumpukan seluruh perhatiannya kepada Ali Usman kembali. Macam tadi juga, Ali Usman masih lagi mamai. Dua kali bahu Ali Usman saya singgung dengan kuat. Tetapi, dia tidak memberikan tindak balas yang sewajarnya.
“Áli, apa yang kamu lihat itu, itulah juga yang aku Iihat. Sekarang semuanya sudah selesai, sudah tak ada lagi, Cuba buka mata kamu "
Datuk dan saya segera berusaha mendirikan Ali Usman. Kepalanya yang terkulai kami tegakkan, Wajahnya dihalakan ke arah pintu bilik yang terdedah.. Pelahan-lahan Ali Usman mambuka kelopak matanya.

"Kamu tengok sekarang, semuanya sudah hilang."

Itulah yang datuk bisikkan ke lubang telinga Ail Usman. Dengan lemah saya lihat Ali Usman anggukkan kepala. Dia hanya berkerut, buat beberapa ketika Ali Usman menarik dan melepaskan nafas dalam usahanya mencari ketenangan dan ketenteraman.

"Bagaimana perasaan kamu sekarang? Dah tenang," susul datuk.

Ali Usman anggukkan kepala, senyumnya kian lebar.

"Kalau gitu kamu mulakan,"
Datang lagi usul dari datuk dan ternyata tiada bantahan dari Ali Usman. Dia pun melangkah melepasi bendul pintu bilik.
Setelah mendapat isyarat dari datuk, saya turut melangkah ke dalam bilik yang kelihatan mempunyai ciri-ciri tersendiri. Datuk pun membekalkan pesan agar jangan menyentuh apa juga barang yang terdapat di situ, kecuali setelah mendapat kebenaran darinya.
KHAS

BERADA di dalam bilik khas yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, terasa nyaman bagai kan berada di dalam bilik yang berhawa dingin. Keganjilan yang dialami setiap kali melangkah, saya seperti tidak dapat mengimbangi seluruh tubuh, terhoyang hayang ke kiri dan ke kanan. Bagi mengelak dari jatuh terpaksa berpaut pada tubuh Ali Usman.

Apakah perkara yang saya alami turut dirasakan oleh Ali Usman dan datuk? Tetapi, melihat pada gaya dan gerak mereka temyata perkara itu tidak berlaku.

Dengan tidak semena-mena terdengar seperti suara kumbang mengorek lubang dikayu. Keadaan begini memang kurang tenteram, memberi kesan yang tidak tentu arah disanubari.

"Apa pula sialnya si kumbang ni, mengacau urusan orang dan menakutkan aku,” jerit batin saya.

“Ehemmmm.. “ Datuk berdehem pendek

Dan secara sepontan saya menoleh ke arah datuk, pandangan kami bertembung.

"Jangan ditegur atau dikomen bila kamu melihat atau mendengar sesuatu yang pelik. Cuba fikir dulu sebelum mengikut kata hati. Jangan pandai-pandai nak mengutuk atau marah tidak bersebab."

Itulah komentar datuk. Dia bagaikan tahu erti renungan mata saya sebentar ta­di. Saya mengigit bibir, susah sungguh berurusan dengan manusia yang dapat membaca suara hati kita.

Dan buat sekian kalinya, saya menatap wajah All Usman. Dia nampak bersahaja. Tetapi gerak mata hitamnya membayangkan sekelumit keresahan dalam dirinya Dia cuba tersenyum dan ternyata senyum yarng dipaksa itu hilang serinya.

Bilik yang nampak kecil itu, tenyata cukup besar dan luas. Buktinya. sudah lebih sepuluh langkah kami melangkah dari bendul, masih belum sampai ke bahagian tengah bilik. Ali Usman memberikan isyarat tangan, supaya kami menuju ke bucu bilik sebelah kiri. Dan saya yang sangsi dengan arahan tersebut enggan melangkah.

"Ke sana, sebelah kiri,” keras suara. Ali Usman.

"Maaf," bisik saya padanya.

"Bodoh,”' Sakit benar rasa hati menerima ungkapan kata yang ditujukan oleh Ali Usman untuk saya. Kalau tidak memikirkan berada di tempat orang mahu rasanya melepaskan penumbuk sulung ke mukanya. Biar pecah berdarah dan tersungkur di lantai.

"Ehemmm,,,.' datuk bersuara.

Menyedari kesilapan yang dilakukan, saya minta maaf dengan menganggukkan kepada pada datuk.

Saya dan datuk mengekori Ali Usman menuju ke tempat yang dimaksudkan. Keadaan di situ agak gelap dan lubang hidung mula diasak dengan bau bunga cempaka kembang pagi. Terdengar bunyi seperti kain batik dikoyak berkali-kali. Sesekali terdengar suara wanita berbisik sesama sendiri.

Dalam suasana yang agak gelap itu, sepasang telapak tangan jatuh atas sayap bahu kiri dan kanan. Berdebarlah hati saya, rasa cemas dan takut terus memuncak. Perlahan saya raba tangan di bahu kiri, terasa kasar dan keras dengan urat-urat timbul di belakang tangan.

Bila telapak tangan merayap di lengan orang yang belum saya pasti siapakah orangnya, rasa gementar terus menguasai tangkai hati, lebih-lebih lagi bila telapak tangan menyentuh bulu roma yang keras terpacak.

Pergerakan telapak tangan terhenti di hujung siku, bila tersentuh bulu berlebihan daging yang lembik dan lembut. Tidak salah lagi tangan yang memegang kedua belah sayap bahu ialah tangan datuk dan dengan serta merta degup jantung saya kembali normal.

“Bertenang dan kawal perasaan kamu Tamar, jangan menggelabah tak tentu pasal,” suara datuk masuk ke lubang telinga.

“Baik tuk.”

Serentak dengan itu cengkaman sepasang telapak tangan di bahu kiri dan kanan segera berakhir. Saya bernafas lega kerana datuk berada tidak jauh dari saya.

LILIN

Ali Usman menyalakan api di hujung lilin besar. Tidak diketahui dari mana dia memperolehi mancis.

Cahaya di hujung lilin yang sekejap besar, sekejap kecil itu mampu memberikan sinar yang cukup terang untuk kami melihat apa saja barang atau peralatan yang berada disitu.

Terdapat sebuah perahu Bugis, lengkap dengan layar dan pendayungnya terbelenduh di bucu bilik. Bahagian bawah (perut) perahu terletak di atas empat pasu besar Cina yang berukiran naga dengan latar belakang biru kuat. Pada hemat saya, tujuan berbuat demikian bagi mengelakkan kerosakan lantai bilik dan perut perahu.

“Kita ke sana.”

Ali Usman menuding jari telunjuk ke arah yang dimaksudkan. Saya dan datuk pun bergerak ke arah yang dimaksudkan. Tidak ada apa pun yang terdapat di situ, kecuali kain tabir yang berwarna hitam.

“Ada rahsia di sebalik tabir ini.”

Dengan pantas Ali Usman menjatuhkan kain tabir berwarna hitam lalu digulung serta di ketepikan berhampiran dinding.

“Pasu pertama diisi tulang gajah mati beragan, pasu kedua atau di tengah-tengah ditaruh tulang badak sumbu mati berlaga di tepi danau dan pasu yang ketiga ditaruhkan dengan tulang harimau jantan yang ganas.”

Mulut saya terlopong mendengar penjelasan dari Ali Usman yang memang tidak diduga atau dijangkakan. Datuk hanya anggukkan kepala sambil mengharapkan ada penjelasan selanjutnya dari Ali Usman. Dan apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Keadaan sekitar terasa amat sunyi sekali tetapi, beberapa minit kemudian tulang temulang dalam ketiga-tiga pasu besar itu bergerak dan berlaga sama sendiri. Beberapa potong tulang terangkat sendiri. Dalam masa yang sama, terdengar seperti ada orang menjilat dan menyedut tulang yang terangkat dari pasu besar. Saya cuba mengesan dari arah mana datangnya bunyi orang menjilat dan menghisap tulang itu.

Ali Usman tahu yang saya sedang mengesan bunyi ganjil tersebut. Dia cuba berusaha menghalangnya dengan cara yang paling sopan sekali.

Berkali-kali dia mengedutkan dahi sambil mengaru pangkal leher kanan, macam ada sesuatu yang mahu dituturkan.

“Semua yang saya cakapkan tadi, bukan rekaan. Hal itu diberitahu oleh bapa saudara saya sendiri. Pesannya, bila dia sudah tiada, saya mesti menjaga apa yang ada di dalam rumah ini.” Ali Usman mengakhiri kata dengan senyum yang memanjang. Saya dan datuk berbalas renungan.

KHASIAT

“DIA tak cakap pada kamu tujuan dia menyimpan tulang temulang binatang dalam pasu?” Satu pertanyaan datu ajukan dalam nada suara yang lembut sekali.

“Untuk tujuan perubatan,” jawap Ali Usman.

“Untuk ubat.” Datuk minta kepastian.

“Iya,” angguknya penuh yakin.

Mungkin untuk meyakinkan kami berdua, Ali Usman pun menerangkan tentang khasiat-khasiat yang boleh diperolehi dari tulang-temulang binatang yang ada di dalam ketiga-tiga pasu tersebut.

“Kalau kena cirit birit atau kolera, panas badan, darah tinggi, runsing dan sukar tidur malam, rendam tulang paha gajah semalaman bersama air telaga, kemudian minumlah air tersebut bersama dengan campuran biji tembikai.”

“Lagi, tulang yang lain macam mana?” desak datuk.

“Air rebusan tulang harimau ganas, diminum waktu pagi dicampur dengan sedikit jintan manis, boleh menghilangkan lenguh-lenguh sendi, lelas, lesu badan, kencing manis, gaut, tekanan darah rendah, menambahkan nafsu makan.”

“Macam mana tulang badak sumbu mati berlaga.”

“Air rebusan dari tulang kaki badak mati berlaga diminum bersama campuran kicap pekat dan air tebu hitam diminum waktu pagi cukup berkesan untuk menguatkan dan mengeraskan alat kelamin lelaki, tahan lama berjuang lama di katil. Perempuan belum beranak dilarang minumnya, boleh menyebabkan mandul.”

“Haaaa………” Datuk seperti terkejut.

Sesungguhnya saya tidak melibatkan diri dalam perbincangan itu (antara datuk dan Ali Usman) lebih banyak mendengar dan memerhatikan saja. Kalau masuk campur, mungkin tidak disenangi oleh Ali Usman.

Malah, mungkin dimarahi datuk. Ali Usman bergerak ke arah lain, kesudut paling kanan. Datuk mengikut saja ke mana Ali Usman melangkah, begitu juga dengan saya.

Berada di sudut paling kanan dalam bilik tersebut seluruh badan terasa panas berbahang, macam berdiri dekat unggun api. Peluh mula mercik di seluruh badan.

“Panas?” Tanya Ali Usman.

Saya mengangguk.

“Tetapi, datuk kamu sejuk mengigil.”

Bagi mempastikan cakap Ali Usman benar atau sebaliknya, saya toleh ke arah datuk, memang benar dia mengeletar. Saya berhadapan dengan suasana yang sungguh menakjubkan. Dalam sebuah bilik, kami berhadapan dengan hawa yang berbeza.

“Tak apalah, sebentar lagi kamu akan kembali normal, setiap orang yang baru masuk ke sini akan mengalami rasa sejuk dan panas tidak bersebab,” jelas Ali Usman dengan tenang.

Saya dan datuk menerima penjelasan itu dengan hati yang terbuka. Kata-kata Ali Usman terbukti benar. Lima minit kemudian suhu badan saya dan datuk kembali normal.

“Ini tempat paling rahsia, hanya saya seorang saja yang diizinkan masuk di sini, orang lain diharamkan. Hari ini saya melanggar akibatnya,” tutur kata Ali Usman tersangkut sangkut.

Datuk tidak memperlihatkan sebarang reaksi. Bagaimanapun, Ali Usman tidak terdaya menyembunyikan keresahan batinnya dari terpamir diwajahnya.

BANTAL

Sudut paling kanan ini saya kira cukup istimewa berbanding dengan sudut sebelah kiri, terdapat tilam bersarung kain kuning, dua biji bantal beropol kain kuning juga.

Terdapat longgokkan buku (kitab) lama yang kertasnya sudah kuning. Terdapat lampu minyah tanah antik, badannya dari kaca dan corongnya juga dari kaca.

Di hujung tilam, atas rak yang dibuat dari buluh kuning tersusun berpuluh botol kecil yang berisikan aneka minyak, ada minyak dagu, minyak tupai jantan, minyak tembuni, minyak mani gajah, dan berbagai lagi. Kegunaannya untuk pengasih dan menegangkan kulit muka, demikian saya diberitahu oleh Ali Usman.

“Ini pula taring babi hutan yang mati beragan,”

Ali Usman menuding jari telunjuk ke arah tali pinggang yang penuh taring babi hutan yang berwarna putih berkilat.

“Untuk apa?” secara sepontan datuk menyoal.

“Sesiapa yang memakainya, digantung di leher, diikat di pinggang atau dijadikan azimat, orang itu tak lut peluru atau senjata tajam. Itulah yang diberitahu oleh bapa saudara kepada saya.”

“Perbuatan syirik, syukurlah saya dapat membetulkannya. Walaupun mengambil masa yang lama,” Ali Usman luahkan perasaannya dengan penuh keyakinan.

“Sepatutnya semua yang ada di sini dimusnahkan,” datuk mengemukakan cadangan. Ali Usman menarik nafas panjang sambil merenung ke arah longgokkan kitab.

“Biarkan semua yang ada di sini musnah sendiri, saya tak senang hati kalau dimusnahkan oleh orang lain.”

“Kamu ada maksud lain Ali?”

“Tidak ada, saya sendiri tidak suka dengan semua ini.”

“Baiklah, “ jawap datuk pendek.

BENAR

Sungguh mengejutkan bila Ali Usman membenarkan saya dan datuk menyentuh dan membaca kitab-kitab lama yang ada di situ. Walaupun sudah diizinkan, saya masih ragu-ragu untuk melaksanakannya.

“Boleh tuk,”

“Silakan tuk.”

Sebuah kitab lama saya buka, tulisannya sungguh ganjil bercampur aduk tulisan jawi dengan tulisan siam, Vietnam, Jawa Kuno, dan Hindustan. Sukar untuk membaca apalagi memahaminya. Tetapi, saya tidak putus asa, saya cari kitab lain dan akhirnya saya tersua dengan sebuah buku tebal yang di dalamnya tercatat nama pawang dan bomoh serta orang yang pernah berguru dengan bapa saudara Ali Usman (Si Raja Susuk).

Antaranya terdapat nama nama beberapa lelaki dan wanita dari Pahang, Kedah, Perlis, Melaka, Trengganu yang pernah menuntut ilmu denga Raja Susuk. Bila pulang ke tempat asal mereka berusaha mengembangkan ilmu tersebut di tempat masing-masing.

“Dia datang,” jerit Ali Usman.

Dengan serta merta buku ditangan saya lepaskan. Datuk yang duduk bersandar di tepi dinding segera bangun. Seluruh biji mata tertumpu ke arah pintu yang terbuka. Semuanya tergamam tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Seorang wanita dengan rambut mengerbang, memangku seorang bayi berkepala licin dalam kain putih. Sebahagian dari dadanya dibalut dengan kain merah manakala bahagian lainnya terdedah. Buah dadanya dilindungi oleh tubuh bayi yang dipangkunya.

Kain putih yang membalut tubuh si bayi kepala botak, menutup bahagian badan depan wanita tersebut iaitu dari pinggang hingga ke kaki. Dengan sepasang mata yang merah, mulut separuh terbuka bersama susunan gigi yang tinggi rendah. Wanita melangkah kea rah kami.

Di luar bilik terdengar suara tangisan bayi sedangkan bayi dalam pangkuan wanita berwajah hodoh diam kaku. Dari bahagian jenang atas pintu terhulur kain berwarna merah jambu bersama lembaga yang menyerupai muka orang hutan.

Dari lubang hidung lembaga tersebut terkeluar hembusan nafas membekalkan bau busuk.

Mata kanannya buat kehijau-hijauan, manakala mata kirinya serupa dengan mata manusia biasa. Wanita berwajah hodoh terus melangkah mendekati kami. Ali Usman cuba melakukan sesuatu. Dia berdiri sambil mengenggam penumbuk dan menentang wanita yang memangku bayi kecil kepala botak.

“Saya tahu, semuanya berpunya dari perbuatan saya membuka rahsia rumah ini pada orang lain,” jerit Ali Usman.

“Bertenang, kita tunggu dan lihat apa yang akan terjadi,” datuk memberikan secebis nasihat dan Ali Usman akur dengan nasih tersebut. Wanita terus melangkah mendekati kami dan kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas ulasan anda!